![]() |
Oleh Rosmawati MionPATUTLAH moody, rupanya datang bulan. Mungkin kata-kata itu sudah biasa didengar atau dilontarkan oleh semua orang termasuk juga kaum lelaki. Haid atau datang bulan memang sering dikaitkan dengan sikap negatif. Malah, sebilangan wanita sendiri berpandangan datang bulan hanya menyusahkan dan satu perkara yang tidak disukai mereka. Sebabnya, pergerakan diri mereka jadi terbatas ekoran timbul rasa tidak selesa. Bukan sahaja untuk bergerak aktif, tetapi terpaksa juga mengawal gerak diri setiap waktu terutama sekali ketika tidur. Diri pun mula berasa kurang yakin. Ekoran masih wujud pemikiran negatif itu, jenama tuala wanita, Whisper mengambil pendekatan mengadakan satu perbincangan untuk memperkatakan berkaitan isu haid. Perbincangan bertajuk Have A Happy Period itu bertujuan menukar corak pemikiran dan memperbetulkan pandangan wanita Malaysia untuk menggalakkan mereka memandang positif haid masing-masing. Lima personaliti terkenal dijemput untuk berkongsi pandangan dan menceritakan pengalaman masing-masing tentang haid termasuk penerimaan diri mereka di saat pertama kali datang bulan. Personaliti tersebut adalah jurulatih motivasi, Sharmini Hensen; pelakon tempatan, Sarah Lian dan Dawn Jeremiah; penari dan pereka tari, Suhaili Micheline serta penulis blog, Nicole Tan. Diacarakan oleh pengacara 8TV Quickie, Rina Omar, perbincangan diadakan secara lebih santai dan menarik untuk didengar. Apatah lagi, isu yang dianggap sulit oleh sesetengah wanita dibincangkan dengan terbuka dan ada antara pengalaman yang diluahkan beberapa personaliti sebenarnya memberi pengajaran buat gadis, wanita dan ibu-ibu yang bakal mempunyai anak perempuan pada masa depan. Paling seronok apabila masing-masing menceritakan saat pertama kali haid muncul dalam hidup mereka. Pastinya, semua mempunyai pengalaman berbeza. Bagi Rina, dia memang tidak tahu langsung tentang haid. Hari pertama, saat terpandang darah, dia terus masuk ke bilik air dan menangis. Fikirnya, sudah berlaku pendarahan dalaman dan dia akan mati. Sehinggalah ibunya datang dan menerangkan perkara sebenar. Manakala buat Suhaili, pengalaman pertamanya juga tidak menyeronokkan. Ketika semua gadis sebayanya sudah mengetahui apa itu haid, Suhaili baru mengenalinya pada usia 15 tahun. Ia muncul di awal pagi sebelum ke sekolah. Suhaili segera menelefon rakan dan berbisik untuk meluahkan masalahnya. Apabila disuruh memakai tuala wanita, dia bingung kerana tidak tahu apa itu tuala wanita. Mungkin apabila mendengar kisah itu, ramai tersenyum menganggapnya lucu. Tetapi, itulah yang berlaku sekiranya ramai wanita terutama kaum ibu menganggap haid adalah isu sensitif dan malu jika dibicarakan secara terbuka, apatah lagi memberitahu anak-anak gadisnya berkaitan datang bulan sebelum waktunya. Keadaan ‘tertutup' itu seolah-olah terbawa-bawa dalam diri wanita sehingga mereka berasa tidak selesa setiap kali datang bulan. Perasaan tersebut juga dirasai sebahagian personaliti yang hadir pada majlis berkenaan. Diri murung, apatah lagi jika terasa sakit atau kekejangan kala datang bulan yang membuatkan keadaan bertambah teruk. Namun bagi mereka, kini semuanya sudah berlalu. Rasa tidak selesa dibuang jauh dengan mengingatkan diri masing-masing bahawa haid adalah tandanya mereka sudah menjadi wanita sejati. Dan, sejak itu haid bukan lagi masalah buat mereka. “Itulah yang diingini Whisper, mengajak wanita dan gadis-gadis agar tidak murung sebaliknya ceria semasa datang bulan,” kata Penolong Pengurus Media Asean untuk P&G Gamble Malaysia, Lizzie Yeoh. Menurutnya, ceria ketika haid bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ramai wanita sudah merasainya. Kajian berkaitan haid yang dijalankan di Eropah untuk mengenal pasti sikap dan pengalaman wanita apabila datang bulan, membuktikan kebenarannya. “Apa yang mengejutkan, ramai wanita yang ditemui menyatakan bahawa mereka sudah ceria ketika haid. Wanita Greece mengalami datang bulan paling ceria, manakala Jerman menduduki tangga kedua. “Dalam erti kata lain, wanita boleh ceria semasa haid biarpun kegembiraan itu berlainan antara individu dengan individu yang lain. Dan, situasi yang sama akan cuba diterapkan di Malaysia. “Pentingnya, Whisper ingin memberi keyakinan kepada wanita dan pada masa yang sama biar datang bulan, mereka berasa bersih seperti baru selesai mandi,” kata Lizzie. |
|
||||||||||||||||||||
| Tell-a-friend | Policies & terms | Bookmark page | Contact |