Life Coach Sharmini Hensen - LifeWorks, Kuala Lumpur, Malaysia
 
MyMetro Isnin : 24/11/2008
 

Tetap ceria meskipun ketika datang haid


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEDATANGAN haid saban bulan bukan waktu untuk bermurung atau akur pada emosi yang dikatakan tidak menentu.

Apatah lagi generasi muda hari ini yang semakin yakin dan berdaya maju untuk merebut pelbagai peluang bagi mencapai impian masing-masing.

Bagi penari dan koreografer terkenal, Suhaili Micheline, haid tidak menyekat seseorang penari itu untuk terus menjalani latihan tarian asalkan wanita itu tahu cara untuk mengekalkan kebersihan dan kesegarannya.

Kata Suhaili, perubahan emosi seseorang wanita ketika sindrom sebelum kedatangan haid (PMS) banyak bergantung kepada kekuatan dalaman wanita itu sendiri. Jika seseorang wanita itu tidak terlalu memikirkan kesakitan ketika haid dan tetap berasa riang, emosinya pun akan turut ceria.

“Setiap kali tibanya haid, saya tidak pernah terlalu memikirkannya dan tetap menjalani rutin harian seperti biasa.

“Untuk mengatasi tekanan dan kesakitan, saya menggunakan pad sokongan yang baik serta banyak melakukan meditasi, menari dan bersenam. Ternyata, ia banyak membantu dalam melewati hari berkenaan,” katanya ketika sesi forum perbincangan secara langsung mengenai haid bertajuk ‘Have a Happy Period’ di Kolej Segi, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Forum berkenaan menampilkan barisan panel wanita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu Sarah Lian, Dawn Jeremiah, Nicole Tan, Suhaili Micheline, Sharmini Hensen serta Penolong Pengurus Media Asean P&G Malaysia, Lizzie Yeoh dan pengacara televisyen, Rina Omar, selaku pemudah cara.

Mereka mengupas pelbagai isu berkaitan haid, wanita serta memberikan pelbagai petua untuk mengatasi masalah kesakitan PMS.

Kolumnis majalah kecantikan, Sharmini, berkata, kebanyakan wanita memerlukan lebih perhatian ketika mengalami haid berbanding hari biasa dan ia adalah normal untuk dilakukan.

“Tidak ada salahnya jika anda mahu perhatian lebih daripada seseorang ketika sedang haid.

“Perubahan hormon yang berlaku dalam badan wanita menyebabkan seseorang itu inginkan lebih tumpuan berbanding biasa.

“Lebih penting, seseorang itu jangan merasakan dirinya keseorangan ketika PMS kerana keluarga dan teman masih sudi menemani di sisi,” katanya.

Sharmini juga berkata, ramai wanita yang masih ragu-ragu untuk melakukan aktiviti sukan air ketika haid kerana beranggapan darah akan keluar seperti biasa.

Tanggapan berkenaan perlu diperbetulkan kerana ketika berada di dalam air, tarikan graviti yang berlaku akan menghalang darah daripada keluar.

“Wanita yang sedang dalam haid masih boleh melakukan sukan air kegemaran masing-masing dan tidak perlu bimbang mengenai pengalirannya,” katanya.

Sarah pula mengakui tidak mempunyai masalah berkaitan haid yang serius dan jika mengalami PMS sekalipun, fokus terhadap keperluan peribadi tetap diutamakan.

Katanya, kedatangan haid setiap bulan bagi seseorang wanita sesuatu yang normal serta menerimanya dengan senang hati dan kekal cergas untuk menjalani aktiviti hariannya.

Sementara itu, Lizzie berkata, kajian Talking Periods yang dijalankan di Eropah mendapati wanita di sana tetap menjalani kehidupan yang ceria meskipun ketika haid.

“Wanita Greece mengalami tempoh kedatangan haid yang paling ceria berbanding wanita lain di seluruh Eropah. Saya percaya cara wanita memperkatakan soal haid juga mungkin mendatangkan kesan terhadap kehidupan mereka.

“Wanita positif menerima kedatangan haid sebagai kehidupan semula jadi seorang wanita yang biasanya akan mengalami tempoh haid yang ceria,” katanya.

 
Home
Life Works Programs
NS-NLP Program
About Coach
Podcasts
Media articles
FAQs
Sistas Network
Useful links
Contact
 
 
 
         
         
Tell-a-friend | Policies & terms | Bookmark page | Contact

Webmaster